Saturday, March 21, 2009

Awasi Pilihan Makanan di Tempat Kerja -Petikan Utusan Malaysia 10/03/09

Just to share ..

===================================================================

BERPULUH-puluh jenis juadah dan masakan yang lazat terhidang di kaunter
kantin tempat kerja bagi membolehkan para pekerja membuat pilihan.

Memang rambang mata untuk memilihnya. Semuanya lazat dan membuat air liur
kecur sekiranya tidak dapat merasakannya. Hendak mengambil satu dua lauk,
rasanya rugi sebab tidak dapat merasa yang lain. Akhirnya bertimbun lauk di
atas nasi. Hampir semuanya berminyak dan berlemak.

Difahamkan rakyat Malaysia sememangnya suka makan sesuka hati dan tidak
menjaga pemakanan mereka. Akibatnya masalah obesiti dan penyakit kronik
ekoran daripada pengambilan makanan yang tidak berkhasiat kini semakin
meningkat di kalangan masyarakat.

Perkembangan tidak sihat ini pastinya membimbangkan. Lebih membingungkan
ialah mengapa rakyat Malaysia sanggup memudaratkan kesihatan mereka dengan
makan sesuka hati?

Satu daripada faktor yang boleh mendorong kepada keadaan ini ialah sikap
rakyat Malaysia yang gemar makan pelbagai makanan dan malas bersenam.

Lebih memburukkan keadaan, kedai-kedai makan yang tumbuh bagaikan cendawan
selepas hujan menyebabkan rakyat Malaysia lupa yang mereka perlu mengamalkan
pemakanan baik untuk kekal sihat .

Lagi malang apabila tabiat pekerja yang menjadi aset syarikat tidak
mengendahkan pilihan makanan yang sihat, boleh memberi kesan kepada
produktiviti dan kecekapan dalam pekerjaan.

Selain itu, kerana pelbagai penyakit yang dihadapi oleh pekerja, syarikat
juga terpaksa menanggung perbelanjaan perubatan yang semakin menggunung,
hanya semata-mata tiada kesedaran bahawa pemakanan tidak sihat hanya
mengundang penyakit kronik seperti diabetes dan strok.

Adalah baik rakyat mangambil iktibar bahawa diabetes, strok, darah tinggi
dan kanser adalah penyakit kemewahan, lazimnya produk gaya hidup tidak sihat
. Jika orang ramai lebih berwaspada dalam apa yang masuk dalam mulut mereka,
peluang adalah cerah bagi statistik berkaitan penyakit-penyakit ini
berkurang.

Panduan menikmati pelbagai jenis makanan

Makan berpandukan Piramid Makanan Malaysia.
Pelbagaikan jenis makanan daripada setiap aras Piramid Makanan.
Digalakkan memilih menu yang berlainan dari hari ke hari.
Cuba makanan yang anda tidak biasa makan.

Panduan menikmati lebih buah dan sayur

Makan sekurang-kurangnya 1/2 cawan sayur pada setiap waktu makan.
Makan sekurang-kurangnya satu jenis buah pada setiap waktu makan.
Pelbagaikan jenis buah dan sayur.
Pilih hidangan yang mengandungi buah dan sayur. (Contoh: nasi kerabu, nasi
ulam, puding buah, rojak buah/sayur, pecal).
Jadikan buah sebagai snek.
Makanlah ulam dan salad bersama hidangan anda.

Panduan mengurangkan makanan bergoreng dan berlemak

Pilih nasi putih berbanding nasi beriani, nasi minyak atau nasi lemak.
Pilih makanan yang dipanggang, dibakar, dikukus atau direbus berbanding
makanan bergoreng.
Kurangkan mengambil kuah yang berlemak. Asingkan lebihan minyak dari kuah.
Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan (hati, limpa, paru, otak, perut) dan
kuning telur.
Makan daging tanpa lemak dan ayam tanpa kulit.
Utamakan makanan tanpa santan.
Kurangkan sapuan mentega atau marjerin pada roti/ biskut/ jagung.
Minta dikurangkan mentega/marjerin pada hidangan apabila membuat pesanan.

Panduan menikmati bijirin penuh, legum, kekacang dan biji-bijian

Makan sarapan berasaskan bijirin penuh seperti oat, jagung dan capati.
Pilih roti, roti pita, bijirin sarapan pagi dan biskut yang berasaskan
bijirin penuh.
Cuba gantikan atau campurkan nasi putih dengan nasi beras perang.
Makan makanan berasaskan legum seperti tauhu, tempe dan kacang panggang
beberapa kali seminggu.
Makan kekacang/biji-bijian beberapa kali seminggu. (contoh: biji selasih
dalam minuman, kuih yang ditabur bijan).

Panduan mengurangkan pengambilan gula

Minum air kosong untuk menggantikan minuman yang manis, sirap, kordial dan
minuman berkarbonat.
Pilih buah-buahan segar untuk menggantikan kuih-muih yang manis, biskut
berkrim, gula-gula atau coklat.
Pilih makanan yang kurang gula. Baca label untuk mengetahui kandungan gula.
Minta dikurangkan gula atau susu pekat manis apabila membuat pesanan
minuman.

Panduan memilih makanan yang selamat

Pilih tempat makan yang bersih.
Pastikan pengendali makanan mengamalkan kebersihan diri.
Pastikan makanan dikendalikan dengan bersih dan selamat.
Elakkan makanan yang tercemar.
Pilih makanan yang segar atau baru dimasak.
Elakkan pengambilan makanan hangus.
Pastikan pembungkusan, kotak dan tin makanan dalam keadaan baik.
Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi bahan pengawet.
Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi pewarna tiruan.
Elakkan makanan yang digoreng dengan minyak masak yang telah digunakan
berulang kali.

Utusan Malaysia

Selasa, 10/03/2009